POKOK TONGKAT ALI - Eurycoma longifolia
KETERANGAN
'Eury' bermaksud lebar dan 'come' bermaksud jambak dalam bahasa Yunani, maka gabungan nama genus Eurycomamerujuk kepada ciri pokok tongkat ali iaitu daun-daun tumbuh berkelompok membentuk suatu jambak yang besar di bahagian atas.
Dalam bahasa Latin pula, 'longus' membawa maksud panjang manakala 'folia' merujuk kepada daun.
'Longifolia' pula membawa maksud daunnya yang agak panjang mencecah satu (1) meter.
Daun-daun tongkat ali bertumpu di hujung batang yang biasanya tidak bercabang, bagaikan bunga manggar yang menyerikan sesuatu acara keraian atau sambutan orang-orang besar seperti majlis perkahwinan, perasmian dan perarakan.
Tongkat ali daripada famili Simaroubaceae ini mempunyai taburan yang luas di Asia Tenggara, iaitu dari selatan Myanmar ke Filipina, Indochina (Thailand, Vietnam, Laos, Kemboja), Sumatera, Semenanjung Malaysia dan Borneo.
Di Malaysia, tongkat ali merupakan pokok kecil setinggi 10-meter yang biasa dijumpai di lapisan bawah kanopi utama di kawasan hutan pantai berpasir sehingga ke kawasan pergunungan sekitar 1,000 meter.
Buah tongkat ali mempunyai lapisan berisi yang diminati burung-burung liar yang memainkan peranan dalam penyebaran biji benihnya.
Tongkat ali mengeluarkan jambak bunga yang agak besar dan menarik. Bunganya berkelopak merah hati dan dilitupi bulu.
Akarnya banyak digunakan dalam perubatan tradisional termasuklah sebagai afrodisiak bagi meningkatkan libidodan kekuatan fizikal.
Ia juga direbus dalam air yang diambil sebagai tonik kesihatan selepas bersalin, meredakan demam, merawat cacing usus, disentri serta untuk membantu pencernaan, mengubati ulser mulut dan penyakit jaundis.
Daunnya boleh direbus dalam air untuk disapu pada bahagian badan untuk mengurangkan gatal-gatal atau demam.
SUMBER RUJUKAN
https://www.100jutapokok.gov.my/news/313