PPPH UMPSA    

JPPH UMP    

POKOK JELUTONG - Dyera Costulata

Jelutong tergolong dalam famili Apocynaceae yang berasal dari Semenajung Malaysia. Pokok ini biasa terdapat di hutan pamah. Pokok ini amat mudah dikenali melalui daun-daunnya yang tersusun berkelompok cara “terminalia” atau berpecah menjadi cabang baru daripada hujungnya. Jelutong mempunyai getah cair yang berwarna putih yang sering dilihat meleleh daripada bahagian pokok yang terluka. Jelutong membesar dengan pantas, sebab itulah kayunya agak lembut. Batangnya lurus bagaikan tiang dan boleh mencapai ketinggian 60 m. Semasa kecil, silaranya berbentuk “monopodial” atau seperti pagoda dengan dahan-dahan yang berlapis. Bila matang, silara pokok jelutong mula berkembang menjadi bentuk terbuka supaya boleh mendapat lebih cahaya matahari. Jelutong merupakan salah satu hasil balak komersial utama hutan pamah Malaysia dan pernah menjana jumlah eksport melebihi USD 10 juta setahun. Kayu jelutong bertekstur halus dan berwarna putih krim, sesuai dijadikan pensil, batang mancis, model kayu, ukiran dan peralatan-peralatan kayu yang lain.  Pada masa dahulu, getah jelutong diguna pakai sebagai bahan asas gula-gula getah, gam racun sumpitan dan pengganti getah.   Sumber rujukan: https://ms-my.facebook.com/FRIMKepong/posts/pokok-jelutong-28-jun-2021-pernahkah-anda-melihat-daun-pokok-yang-kelihatan-sepe/4112160608819217/ http://produksidesain.blogspot.com/2014/01/kayu-jelutong.html